Tuesday, July 13, 2010

Kickdefella dakwa ‘dana’ PAS tawan Putrajaya RM200 juta


May 08, 2010

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Blogger Kickdefella (pic) terus ‘menyerang’ Datuk Husam Musa dan PAS dengan mendakwa Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu pernah memberitahunya akan mengusahakan RM200 juta untuk membolehkan mereka menawan Putrajaya.
“Terima Kasih YB Datuk Husam Musa di atas penjelasan itu (kepada Harakah Daily). Sekarang Husam sudah jelaskan beliau berusaha mencari duit bagi dilaburkan untuk mengukuhkan PAS.
“Saya tahu ada pimpinan lain dari PAS juga hebat mencari duit. Kalau Husam laburkan RM4 juta  untuk GMC (Global Media Channel) dan akan usahakan RM20 juta (sebenarnya RM200 juta kata Husam pada saya) untuk tawan Putrajaya, ke manakah wang yang dicari oleh pimpinan PAS lain dilaburkan?” kata Kickdefella yang nama asalnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam blognya.
Syed Azidi yang telah dua kali disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata “pimpinan yang pandai cari duit ini bersorak-sorak bila mereka sangka saya menyerang Husam.”
“Sekarang mahukah mereka bersorak-sorak mendedahkan bahawa wang yang mereka cari hasil jual beli balak dan projek Kerajaan negeri juga mereka laburkan untuk Parti? Adakah mereka seberani Husam?” katanya.
Seterusnya tulisan Syed Azidi menyoal sama ada Setiausaha Akhbar Menteri Besar Ahmad Fadhli Shaari, Timbalan Speaker DUN Kelantan Mohamad Zaki Ibrahim mahu mencabar “blogger murahan dan blogger budak-budak kampung ini dedahkan itu juga?”
“Kalau mahu silakan, saya dah rindu dendam mendengar kenyataan media anda berdua,” katanya lagi.
Dalam kenyataan dipetik Harakah Daily semalam, Husam berkata, memandangkan Umno mendakwa beliau menggunakan peruntukan RM4 juta sehingga menyebabkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi tersingkir dan Umno Kelantan semakin tenat, beliau akan meneruskan hasrat tersebut hingga ke Putrajaya.
“Memang dakwaan RM4 juta memfitnah Pak Lah dan sebagainya adalah fitnah, tetapi dengan fitnah itu ianya menjadi satu modal buat saya untuk membuka satu tabung untuk menawan Putrajaya dengan kos RM20 juta,” katanya dalam nada menyindir ketika menyampaikan ceramah di Taman Guru malam kelmarin.
Katanya, semoga dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab itu sehingga memberikannya sebagai satu ilham, diharap tabung RM20 juta berjaya disemarakkan ke Putrajaya.
Katanya lagi, beliau berbuat demikian kerana tidak mahu terperangkap dalam perangkap yang dipasang oleh pihak lawan kepada PAS.
Kata Husam, ia sebagai taktik pihak kerajaan untuk tidak memberi ruang pada PAS melawan mereka.
“Kalau lawan saja mereka mulalah keluar PAS guna RM4 juta untuk musnahkan Pak Lah dan sebagainya, itu tidak betul, lainlah kalau kita guna duit kerajaan, belum apa-apa lagi SPRM akan hambat kita,” ujar Husam yang juga Ahli Jawatankuasa PAS pusat itu lagi.
Katanya lagi, pemimpin PAS sejak awal lagi sering diberi sumbangan oleh para dermawan yang ingin melihat syariat Islam tersebar di negara ini.
Menurutnya, sebagai contoh beliau sendiri yang hanya mendapat bayaran gaji RM400 sewaktu bekerja di Pejabat PAS, namun boleh keluar berceramah ke mana-mana kerana ada yang memberi sumbangan.
“Ia berlarutan sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen, bantuan yang pelbagai turut saya terima dari penyokong di bawah, semuanya kerana perjuangan Islam, begitu juga untuk bantuan zakat saya turut menerima sumbangan untuk diagihkan pada rakyat,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, semangat rakyat untuk melihat pentadbiran kerajaan diterjaui oleh mereka yang beramanah semakin hebat.
Katanya, PAS tidak pernah memburukkan Pak Lah sewaktu berkempen, sebaliknya hanya menceritakan kebaikan PAS, agar rakyat sedar.
“Yang kata PAS berkempen burukkan Pak Lah biar sampai dia jatuh itu hanya mainan media,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, PAS sama ada kerajaan tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4juta untuk menjatuhkan kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri sebagaimana yang didakwa.
Menurutnya, GMC hanyalah ditubuhkan sebagai platform perhubungan awam.
Katanya lagi,  sebagai sebuah syarikat yang tidak terikat dengan mana-mana pihak, ia lebih menjuruskan pada konsep perniagaan sama ada dengan kerajaan negeri mahupun parti.
“GMC yang diurus oleh seorang yang professional dalam bidang-bidang tertentu telah menggerakkan beberapa projek melalui syarikat terbabit.
“Antara perkara yang dia buat ialah buku yang bertajuk ‘Sketsa Tuan Guru Sebagai Seorang Pemimpin Rakyat’ di mana dalam buku terbabit banyak mempamerkan gambar-gambar Tuan Guru,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai aksi Tuan Guru terkandung dalam  buku tersebut dan ia diedarkan dalam pilihan raya umum 2008.
Katanya lagi, seperkara lagi yang di buat oleh syarikat GMC ialah poster Nik Aziz sedang berdoa di mana gambar-gambar itu juga disebarkan kepada rakyat di negeri ini.
“Ada maklumat yang menyatakan saya membayar pada GMC RM40,000, sebenarnya saya membayar lebih daripada jumlah itu,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, rakyat tidak perlu mempersoalkan di mana peruntukan itu diambil dan jangan berfikir sebagaimana pemimpin Umno berfikir.
Husam menambah, sekiranya rakyat memikir sebagaimana Umno berfikir, sampai bila-bilapun peruntukan lebih RM40,000 itu tidak akan terjumpa.

No comments:

Post a Comment