Tuesday, July 13, 2010

Akhirnya tembelang PAS terbuka jua

klik sini untuk artikel lanjut

Oleh MAHANOR SALEHA
PAS akhirnya terpaksa mencari jalan untuk menafikan penglibatan parti itu bagi melaksanakan propaganda memburuk-buruk kepimpinan Tun Abdul Ahmad Badawi semasa pentadbirannya. PAS yang hampir tersungkur dan berada dalam suasana ibarat telur dihujung tanduk selepas pilihan raya umum 2004, setelah kedudukan BN kuat dan mengancam kuasa politik negeri Kelantan, kerancakan memperburuk-burukkan peribadi pemimpin utama BN dilanyak secukup-cukupnya.
Ketika itu, PAS menjadi semakin tidak stabil dan gentar kerana kuasa pentadbirannya di Kelantan tercabar kuat. PAS hanya menang dengan majoriti 3 kerusi DUN manakala kedudukannya di Dewan Rakyat hanya sekadar mampu meraih 5 kerusi berbanding BN 9 kerusi. Kemenangan kecil dari segi kerusi itu menyebabkan PAS perlu melakukan sesuatu kerana khuatir jika tidak parti itu akan melepaskan tampok pentadbiran di Kelantan yang dikuasai sejak berakhirnya kepimpinan Tan Sri Mohamad Yaacob (Allahyarham) pada tahun 1990.
Kemenangan PAS ketika itu adalah disebabkan penggabungannya dengan parti serpihan UMNO, iaitu Semangat 46 yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), yang ditubuhkan setelah UMNO asal dibatalkan pada tahun 1988. Pembatalan UMNO ekoran desakan 11 orang ahli UMNO yang tidak berpuashati dengan keputusan pemilihan Presiden UMNO pada bulan April 1987, membawa kepada perpecahan di kalangan pemimpin-pemimpinnya. Setelah dibawa ke mahkamah, hakim Dato’ Ajaib Singh mengisytiharkan UMNO sebagai sebuah parti yang tidak sah kerana terdapat ahli-ahli yang tidak sah menjadi perwakilan dalam pemilihan pucuk pimpinan parti ketika itu.
Setelah UMNO diharamkan, Tengku Razaleigh mendaftar UMNO asal berasaskan semangat kewujudannya pada tahun 1946 dan pada hari yang sama UMNO (Baru) turut didaftarkan. Dalam perebutan tersebut, akhirnya UMNO (Baru) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir berjaya mengambilalih aset UMNO yang diharamkan setelah mencapai tahap keahlian yang ditetapkan oleh pemegang amanah. Bermula dari saat itu, Semangat 46 berkongsi kuasa dengan PAS menerajui Kelantan dan akhirnya ahli Semangat 46 sebahagian besarnya kembali ke pangkuan UMNO. Semangat 46 dibubarkan dan tinggallah PAS bersendirian meraih kuasa untuk terus kekal berkuasa di Kelantan pada pilihan raya umum 1999.
Akibat tidak banyak menyediakan kemudahan dan membantu rakyat, PAS semakin terdedah dengan pelbagai kritikan. Rakyat menjadi semakin muak dengan janji-janji PAS untuk membawa pengundi ke syurga dan kegagalannya melaksanakan hukum Hudud menjadikan parti itu hanya “bijak menembak, tetapi burung terus berterbangan.”
Kemuncaknya apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih kuasa, beliau memperlihatkan pemaknaan kembali kedudukan Islam dengan memperkenalkan slogan “bekerja bersama-sama saya dan bukan untuk saya” dan gagasan Islam Hadhari telah  memberikan pukulan berat kepada PAS. Setelah rakyat mula melihat nilai-nilai kepimpinan dan keislaman Tun Ahmad Badawi, kepimpinannya berupaya melonjak kembali pencapaian UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 2004.
Kebimbangan tersebut menyebabkan PAS segera mengatur langkah untuk memperkuatkan jentera propagandanya. Pendedahan Syed Azidi Syed Aziz, yang dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan dan diberi tanggungjawab membuat penulisan memburuk-burukkan Tun Abdullah Badawi akhirnya menjadikan PAS semakin besar kepala apabila menang dengan bergaya pada tahun 2008. Kemenangan tersebut bukan sahaja menghampakan harapan Datuk Dr. Awang Adik Hussin untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, tetapi turut menjadikan UMNO mengalami kekejangan. UMNO kalah teruk di Kelantan sehingga beberapa kawasan yang menjadi tempat kemenangannya tersungkur, termasuk yang turut ditandingi oleh calon PAS dari luar Kelantan.
Kickdefella menjadi begitu akrab dengan Datuk Husam Musa dan telah membantu menulis beberapa buah buku kecil sebagai risalah propaganda menolak setiap dasar yang dikemukakan oleh BN. Antara yang menyengat ialah apabila selepas pilihan raya umum 2008, Tun Abdullah Badawi mengumumkan kenaikan harga petrol sehingga ke tahap RM 2.05 seliter. Persoalan ini seterusnya membangkitkan banyak cerita duka, termasuk pelecehan pembangkang ke atas Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek yang berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan harga petrol.
Janji-janji pembangkang dalam piilihan raya umum 2008 ialah “hari ini memerintah, esok turunkan harga minyak” banyak membantu kemenangan dan pemesongan persepsi rakyat. Rakyat memberikan harapan yang besar kepada pembangkang untuk membantu mengurangkan perkara-perkara yang berhubung dengan “mengeluarkan wang dari poket” termasuk kenaikan harga barang, yuran pendidikan tinggi, bantuan kepada warga emas dan ibu tunggal, skim elektrik dan air percuma, dan sebagainya.
Perkara-perkara begini telah menjadikan Kickdefella semakin menyengat dan terkenal dengan penulisan pedasnya. Beliau turut menyusurgalurkan beberapa catatan mengenai royalti minyak gas yang sepatutnya diterima oleh Kelantan setelah telaga minyak berjaya mengeluarkan hasil di perairan negeri itu. Hasil penyelidikan dan kepintaran penulisan Kickdefella akhirnya lebih ramai rakyat percaya Kelantan berhak mendapat royalti dari pengeluaran gas tersebut. Bagi menyakinkan orang ramai, Husam Musa mengajak para wartawan meninjau sendiri pelantar minyak yang terbabit, kerana menurut dakwaan masih dalam perairan Kelantan.
Rombongan wartawan yang menyertai ekspedisi itu akhirnya membuat rumusan bahawa perjalanan mereka amat menyiksakan, terpaksa berhimpit-himpit dalam bot nelayan manakala Husam Musa tiba dengan bot yang berlainan dan lebih selesa. Walau apa pun, kerana strategi media yang dihulurkan oleh Syed Azidi menjadi, akhirnya ramai yang percaya bahawa telaga minyak dan gas tersebut dalam perairan Kelantan sehingga memaksa kerajaan pusat mengisytiharkan Kelantan berhak mendapat hasilnya.
Meskipun pemberian itu dalam bentuk wang ehsan sebanyak RM 20 juta, sekurang-kurangnya terbukti bahawa Kelantan mempunyai hak dan berkait dengan perjanjian dengan Petronas. Isu ini masih belum selesai, dan Tengku Razaleigh kembali mengambil peranan sebagai orang tengah.
Pendedahan Kickdefella mengenai saluran peruntukan lebih RM 4 juta untuk memburuk-burukkan Tun Abdullah Ahmad Badawi benar-benar menyebabkan ramai pihak tersintak. PAS sendiri semakin hilang punca apabila Husam Musa sendiri menafikannya dan tidak mengetahui tentang penyaluran biaya itu. Bagi yang mengetahui hubungan rapat Syed Azidi dengan Husam Musa tentunya boleh membuat andaian bahawa itulah yang akan dilakukan oleh bekas orang kuat Menteri Besar, dan kecundang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS dengan Nasharudin Mat Isa.
Husam juga menjadi seorang begitu kuat menentang gagasan “Kerajaan Perpaduan” yang dicanangkan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang dan didokong kuat oleh Nasharudin Mat Isa, kerana beliau takut jika ianya menjadi realiti, kedudukan dan projek ternakan kambing di Pasir Mas akan kehilangan tampok. Masa depan politiknya bukan sahaja menjadi semakin suram dan malap, malah terpaksa melupakasan hasratnya menjadi Menteri Besar selepas persaraan Nik Abdul Aziz. Husam pernah disebut-sebut sebagai pengganti jika sekiranya Nik Aziz berundur manakala Nik Amar akan mewakili kumpulan ulamak.
Kerana Nik Aziz takutkan golongan professional memimpin PAS, maka beliau terus memperkatakan mengenai kepimpinan ulamak. Riuh gempita jadinya apabila Nik Aziz menjelaskan bahawa PAS perlu dibersihkan dari “dua tiga kerat pemimpin”, yakni mereka yang tidak berlatarbelakangkan pendidikan agama yang semakin besar berada dalam kelompok kepimpinan PAS.
Propaganda PAS menjadi semakin hebat melalui kepakaran gerak saraf yang ada dan bentuk kempennya memanglah agresif. Kerana itu kedudukan Nik Aziz sebagai “nakhoda PAS” menjadi kuat berbanding dengan kedudukan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku presiden, kerana Kickdefella turut menggunakan “line of propaganda” yang jelas, iaitu Haji Hadi telah gagal mempertahankan Terengganu setelah hanya mampu berkuasa sepenggal.
Garis propaganda yang dibuat itu benar-benar memberikan kesan bahawa kepimpinan Haji Hadi hanya berupaya setakat parlimen Marang dan DUN Rusila sahaja. Bagi negeri Terengganu pun pengaruhnya tidaklah sekuat mana, dan kerana itu ia menjadi terlalu lemah sehingga dapat dikalahkan oleh gerakan Gelombang Biru pimpinan Idris Jusoh dan dinasihatkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu semasa PAS mentadbir negeri telaga minyak itu.
Bagi menggambarkan kekuatan dan kezuhudan kepimpinan Nik Aziz, Syed Azidi turut menulis buku mengenai Menteri Besar, Buku bergambar yang mempamerkan sikap dan kehidupan harian Nik Aziz jauh dari kemewahan benar-benar menerbitkan rasa sayang rakyat kepada Mursyidul Am PAS itu. Namun akhir-akhir ini, imej Nik Aziz menjadi semakin buruk kerana tidak ada lagi pihak yang bersungguh-sungguh mampu melancarakan serangan balas ke atas sebarang kritikan yang diterima termasuk pembiayaan mengerjakan haji walaupun telah ditolak akhirnya, sikap Nik Aziz yang double standard (bukan Islam boleh mencaci Islam, tetapi menghukum orang Islam yang mempersoalkan apa yang beliau dan PAS laksanakan termasuk penggunaan kalimah Allah, mengiyakan pembohongan Anwar Ibrahim mengenai projek 16 September) dan sebagainya.
Pendedahan  Kickdefella bahawa 5 orang yang terlibat dalam pembiayaan tersebut menyebabkan Husam Musa kecut perut kerana beliau memangnya tahu mengenainya. Husam merupakan orang yang membawa masuk Syed Azidi dan memberikan perakuan untuk dilantik sebagai Setiausaha Akhbar, dan banyak mengetahui mengenai pelan propaganda yang dilancarkan. Nama salah seorang EXCO yang menyalurkan biaya tersebut tidak disebut tetapi ramai sudah membuat tekaan berdasarkan beberapa petunjuk jelas.
Mereka yang lain termasuk dalam senarai “Geng 5” ialah
seorang ahli majlis kepada sebuah kerajaan tempatan, pengarang sebuah akhbar propembangkang, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dan pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan. Peruntukan tersebut disakurkan melalui syarikat perunding media, iaitu Global Media Channel Sdn Bhd (GMC) yang beribu pejabat di Jalan Kota Darul Naim dan mula menjalankan operasinya bulan Julai 2007.
Menurut Syed Azidi lagi, sumbangan terbanyak diperoleh daripada ahli majlis terbabit bermula Julai 2007 sehingga November 2008 yang dianggarkan berjumlah lebih kurang RM2.66 juta. Ahli majlis tersebut juga adalah pemilik bangunan, yang dibelinya dengan harga RM 1.2 juta setelah Syed Azidi memilihnya antara Mei hingga Julai 2007.
Syed Azidi menjelaskan “jumlah yang sama juga diberikan peguam ini di antara Mac sehingga Mei 2008 untuk membayar hutang pilihan raya GMC. Kesemua wang ini dibayar kepada seorang pemilik syarikat percetakan.”  Bangunan tersebut turut diubahsuai bagi menempatkan sebuah studio kedap bunyi, pusat operasi media, kelengkapan ICT di samping sebuah ruang pejabat.
Ketika beliau ditahan, menurut Syed Azidi lagi “sejumlah RM160,000 diberikan secara tunai pada 17 September 2008 kepada salah seorang pengarah syarikat ini dan seorang individu untuk membayar kos operasi bulanan GMC dan Pas TV manakala baki RM100,000 diberikan kepada saya pada November 2008 untuk operasi GMC.”
Walaupun ditempelak oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa atas dakwaan menerima wang lebih RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan Abdullah dan memastikan Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan, Syed Azidi tetap menegaskan Husam mengetahui operasi yang dijalankan oleh syarikat terbabit.
Penyumbang kedua terbesar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan, iaitu sebanyak RM1.28 juta yang dibuat melalui sebuah syarikat di antara Mei 2007 sehingga Januari 2009. Kesemua wang tersebut diserahkan secara berasingan di tiga tempat, iaitu di pejabat GMC, di rumahnya yang terletak di Demit (berhampiran Hospital USM, Kubang Kerian) dan si tempat meletak kereta Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Belanja permulaan ubahsuai dan pembelian perabut sebanyak RM 500,000 , pembelian ICT sebanyak RM 150,000 secara berperingkat-peringkat antara “Mei 2007 sehingga Mac 2008. Baki RM630,000 lagi untuk operasi dan kerja-kerja GMC diberi secara tunai juga secara berperingkat-peringkat dari Disember 2007 hingga Januari 2009.”
Antara Jun hingga Ogos 2007, sebanyak RM 350,000 diserahkan secara tunai dan cek bagi membeli peralatan penggambaran bagi kegunaan operasi GMC oleh seorang pengarang akhbar propembangkang. Butiran lengkap jumlah yang diterima daripada Dewan Pemuda Pas negeri tidak diperincikan namun “Saya juga menerima wang daripada exco terbabit sebanyak RM40,000 secara tunai di tempat letak kereta hadapan pintu masuk orang kenamaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai persediaan mewujudkan GMC di antara Jun hingga Julai 2007.”
Syed Azidi turut menyelar cabaran yang dibuat oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar yang mengambilalih tempatnya setelah ditamatkan kontrak, bahawa sumbangannya memanglah besar dalam usaha meremehkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga ramai melihatnya sebagai lemah dan gagal memacu Malaysia lebih “cemerlang, gemilang dan terbilang” walaupun itulah moto yang ingin dibentuk melalui “towering personality.”
Bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut menempelak Ahmad Fadhli yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan kerana membuat kenyataan mendahului kepimpinan parti tersebut. Beliau tetap menanti “menanti Setiausaha Akhbar Menteri Besar membawa isu ini kepada ‘pimpinan parti’ dan jika ‘pimpinan parti’ bersependapat dengan beliau bahawa saya perlu dedahkan nama individu-individu tersebut, diharap Setiausaha Akhbar Menteri Besar akan dapat membuat pengumumannya”.
Ahmad Fadhli sebelum ini meremehkan sumbangan penulis blog yang mempunyai hits tinggi itu supaya mendedahkan mereka yang terbabit menyalurkan sumbangan bagi membiayai aktiviti geraksaraf memburuk-burukkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Husam pula mempertikaikan  mengenai keperluan melaksanakan aktiviti geraksaraf dan berbelanja sebanyak itu kerana “memangnya imej bekas Perdana Menteri telah buruk secara semulajadi.”
Kesan daripada pendedahan menerima sumbangan lebih RM 4 juta melalui Global Media Channel (GMC) Sdn. Bhd., Syed Azidi turut dituduh oleh sebuah blog yang menamakan ruangan siber itu sebagai Tulang Besi,  “sebagai Spy Mahathir, Agen UMNO, Ketua Task Force 13, Agen CIA, FBI dan Mossad. Setidak-tidaknya, kemukakan hitam putihnya. Saya pasti ramai yang ingin melihat buktinya. Saya pun sama. Hendak juga saya tuntut gaji dan elaun dari ‘majikan’ saya itu.”.
Dengan pendedahan tersebut dan pengumpulan bukti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pemimpin PAS semakin kecut perut kerana keghairahan mereka untuk terus berkuasa sebenarnya lebih hebat daripada wawasan teori politik Niccolo Micheavelli yang ditulis pada tahun 1513 dan diterbitkan pada tahun 1532, iaitu lima tahun selepas kematiannya (3 Mei 1469 – 21 Jun 1527). Nampaknya PASlah yang benar-benar mempraktikkan teori politik yang diasaskan oleh ahli falsafah Itali itu ke dalam perjuangannya untuk mengekalkan kuasa, kerana pemimpin yang sering berselindung dengan nama Islam itu sedar kuasalah yang menentukan kelangsungan politik mereka.
Seperti kata pepatah, mutiara akan muncul juga akhirnya meskipun lumpur sentiasa menyalutinya. Sampai ketika, hujan akan menghanyutkan lumpur tersebut, mutiara tidak juga hanyut kerana mutiara tetap mutiara, ia adalah permata asli dan bukannya bersalutkan pewarna tiruan. Lumpur yang dicalitkan oleh PAS ke atas mutiara UMNO menjadikan sinarnya semakin jelas dan berkemilau. PAS terus dibelenggu sindrom gadis cantik, tetapi penuh dengan parut kudis yang sukar lagi dihapuskan. Gadis cantik pula sentiasa bimbang mengenai usianya yang semakin tua, maka ditempelkanlah pelbagai bahan kosmetik termasuk memasukkan susuk ke dalam anggota tubuhnya agar terus kelihatan menarik dan menawan.

No comments:

Post a Comment